Makan2U

Deklarasi Komitmen 13 Perkara Halalan Toyyiban

Deklarasi Komitmen 13 Perkara Halalan Toyyiban

1. Saya tahu dan faham tentang konsep HALALAN TOYYIBAN

HALAL bererti sesuatu yang DIBENARKAN oleh SYARAK (hukum Islam) manakala TOYYIB pula bererti BAIK (merangkumi aspek Bersih, SUCI, Selamat dan Berkualiti). Dari segi bahasanya, HALALAN TOYYIBAN bererti sesuatu yang DIBENARKAN oleh SYARAK lagi BAIK. Sebaliknya, HARAM pula adalah sesuatu yang bertentangan dengan HALAL; DILARANG oleh SYARAK. Manakala, perkara yang tidak jelas di antara HALAL dan HARAM dianggap sesuatu yang SYUBHAH.

Manfaat daripada HALALAN TOYYIBAN bukan hanya kepada kaum Muslim semata-mata tetapi sebaliknya kepada manusia seluruhnya; selari dengan tujuan Islam dipersyariatkan; "Rahmat kepada seluruh alam".

Sebagai individu Muslim yang benar-benar menjaga agamanya, kita perlu sentiasa memastikan bukan sahaja yang dimakan, diminum, digunakan, dipakai dan sebagainya benar-benar HALALAN TOYYIBAN, malah turut berusaha menjauhi perkara-perkara yang SYUBHAH.

Dalam konteks yang lebih besar, HALALAN TOYYIBAN merangkumi semua perkara termasuklah makanan dan minuman, barangan penjagaan diri, kosmetik, ubat-ubatan, pakaian, detergen dan lain-lain lagi.

HALAL perlu diberi perhatian dalam 2 aspek; SUMBER dan PROSES. Contohnya, ayam yang hukum asalnya HALAL dimakan, akan menjadi HARAM jika tidak disembelih mengikut SYARAK. Jika telah disembelih mengikut SYARAK pula, ia akan menjadi HARAM dimakan jika ianya tidak SUCI daripada NAJIS; iaitu proses penyediaannya yang tidak dibuat dengan betul. Antara perkara yang boleh berlaku adalah proses bersih-SUCI ayam tersebut tidak dibuat dengan cara yang betul ataupun mencampurkan sesuatu bahan yang HARAM ketika memasak atau menghidangnya. Oleh itu, pengetahuan mengenai benda-benda yang HARAM dimakan/diminum, jenis-jenis NAJIS serta cara menyucikannya serta JENIS-JENIS AIR bagi tujuan menyucikan amat perlu dalam konteks ini.

Sehubungan dengan itu, label "Pork-Free", "Lard-Free", "Organic Food" mahupun "Vegetarian Food" tidak boleh digunakan sebagai asas untuk melabelkan sesuatu makanan atau minuman berkaitan sebagai HALAL jika ianya tidak SUCI dalam erti kata sebenar daripada NAJIS akibat daripada proses yang dibuat tanpa pengetahuan asas ilmu-ilmu yang dinyatakan di atas.

Seharusnya, produk yang mempunyai logo HALAL MALAYSIA dijadikan sebagai pilihan dalam mencari produk-produk yang HALAL. Kepercayaan harus diberikan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti JAKIM, JAIN atau MAIN yang telah diberikan amanah dalam menentukan sesuatu produk itu HALAL apabila menganugerahkan status HALAL kepada pengusaha atau pengeluar produk yang berkaitan.

Di Malaysia, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan kepada pengusaha atau pengeluar produk memperolehinya. Ini adalah berpandukan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Walaubagaimanapun, jika mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status HALAL, mereka boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan.

Manakala, jika kesalahan dilakukan bukan pertubuhan perbadanan pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Perlu diingatkan, benda HARAM yang dimasukkan ke dalam badan akan menjadi darah daging manakala yang digunakan atau dipakaikan pada tubuh badan pula (contohnya HARAM kerana bersifat NAJIS) boleh menjejaskan aspek kesempurnaan dalam melaksanakan ibadat solat kita.

Sehubungan dengan itu, sebagai pihak Seller yang baik dan bertanggungjawab, perlulah memastikan apa sahaja makanan dan minuman yang ditawarkan melalui Makan2U adalah sentiasa dalam keadaan HALALAN TOYYIBAN.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.

2. Saya tahu dan faham benda-benda yang HARAM dimakan

Sebagai pengetahuan, benda yang HARAM dimakan tidaklah sebanyak benda yang HALAL dimakan. Ini adalah kerana, pada asasnya semua benda yang ada di atas mukabumi ini adalah HALAL dimakan / diminum MELAINKAN jika ada arahan samada daripada Quran atau Hadis yang mengHARAMkannya dimakan / diminum.

Tambahan kepada itu, sesuatu yang tergolong sebagai NAJIS juga secara automatisnya adalah HARAM dimakan / diminum.

Di samping itu juga, bahan-bahan kimia berbahaya boleh jatuh hukum HARAM untuk dimakan / diminum / digunakan atas asas boleh memudaratkan (samada kesan jangka pendek atau panjang) apabila masuk atau terdedah kepada tubuh badan.

Adalah menjadi KEWAJIPAN setiap SELLER Makan2U mempunyai PENGETAHUAN mengenai benda-benda yang HARAM dimakan / diminum, jenis-jenis NAJIS dan cara menyucikannya serta JENIS-JENIS AIR bagi tujuan menyucikan dalam menawarkan makanan dan minuman yang mematuhi prinsip HALALAN TOYYIBAN. Pengetahuan berkenaan KESAN-KESAN BAHAN KIMIA yang digunakan samada sebagai campuran kepada resepi ataupun di dalam proses perlu dititikberatkan.

Sebagai panduan, sesuatu benda adalah HARAM dimakan / diminum jika:

  • Ianya memudharatkan ataupun memberikan kesan negatif kepada fungsi fizikal atau mental.
  • TIDAK SUCI atau bercampur dengan NAJIS ataupun bahan-bahan daripada bangkai, haiwan yang mati secara semulajadi, atau daripada babi atau haiwan-haiwan lain yang HARAM dimakan.
  • Bahagian daripada haiwan yang HALAL dimakan tetapi tidak diperolehi melalui sembelihan secara SYARAK.

Secara asasnya, haiwan-haiwan yang HARAM dimakan adalah:

  • Babi dan anjing serta keturunan mereka.
  • Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa seperti serigala, beruang, kucing, gajah, singa, harimau, kera dan seumpamanya.
  • Burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan seperti burung hering, semua jenis burung helang, burung rajawali dan seumpamanya.
  • Semua binatang yang SUNAT untuk dibunuh contohnya ular, kala jengking, gagak, tikus dan semua binatang yang memudharatkan.
  • Haiwan yang hidup dua alam (dalam air dan di daratan) seperti katak, buaya, penyu, ketam batu dan seumpamanya.

SEMUA HAIWAN AKUATIK (yang HANYA hidup di dalam air) secara umumnya adalah HALAL dimakan dan tidak perlu disembelih untuk dimakan; malah bangkai mereka juga adalah HALAL dimakan. Contoh haiwan-haiwan ini adalah seperti ikan, ketam, udang, sotong, belut dan lain-lain lagi.

Sebaliknya haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, biri-biri, kambing, unta, kuda, seladang dan seumpamanya perlu disembelih secara SYARAK terlebih dahulu demi memastikan ianya HALAL dimakan. Begitu juga syaratnya untuk haiwan-haiwan dalam keluarga burung herbivor yang secara umumnya adalah HALAL dimakan contohnya ayam, itik, angsa, burung merpati, burung puyuh dan seumpamanya.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.


3. Saya akan sentiasa memastikan semua bahan yang digunakan HALAL; tidak bercampur dengan yang HARAM

Persoalan HALAL dan HARAM adalah hak Allah. Ke arah menjadi individu Muslim yang baik (bertaqwa) yang sentiasa dalam mencari keredhoanNya, kita hendaklah sentiasa berhati-hati untuk tidak mencampurkan yang HALAL dengan yang HARAM dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Dari aspek makan dan minum pula, secara asasnya, jika sesuatu benda itu HARAM dimakan / diminum, hukumnya tetap HARAM walaupun ianya hanya dalam kuantiti yang sedikit. Oleh itu, jika suatu benda yang HALAL pada asalnya telah bercampur dengan benda yang HARAM walaupun dalam kuantiti yang sedikit, keseluruhan campuran tersebut akan menjadi HARAM juga.

Contohnya, bagi menyedapkan sesuatu resepi kek, perlu dicampurkan dengan sedikit wain. Oleh kerana wain itu sendiri adalah HARAM, jadinya secara asas, walau dalam kuantiti yang sedikitpun ia tetap HARAM. Oleh itu, kek yang telah dicampurkan wain itu kini telah menjadi resepi yang HARAM.

Contoh lain yang selalu berlaku juga ialah, ikan yang dimasak tetapi tidak dibuang NAJISnya ataupun perut ikan tersebut tidak dibersih-sucikan NAJISnya dengan cara yang betul. Ini menjadikan keseluruhan masakan ikan tersebut menjadi HARAM untuk dimakan disebabkan pencemaran NAJIS yang berlaku di dalam masakan tersebut.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.


4. Saya akan sentiasa memastikan RANTAIAN PROSES adalah HALAL sepenuhnya; PERSEDIAAN hingga PENGHANTARAN

Perlu diingatkan selain daripada SUMBER yang HALAL, keseluruhan RANTAIAN PROSES bermula daripada persediaan sehinggalah kepada penghantaran perlulah juga dipastikan mematuhi aspek HALALAN TOYYIBAN.

Bermula dengan proses mendapatkan bekalan bahan-bahan bagi menghasilkan resepi yang akan ditawarkan melalui Makan2U. Perlulah secara serius dan penuh tanggungjawab dalam memastikan semua bahan-bahan yang kritikal mempunyai logo HALAL daripada pihak berkuasa yang berkaitan seperti JAKIM, JAIN atau MAIN. Bagi bahan-bahan yang masuk ke negara ini secara import pula, perlu dipastikan mempunyai logo HALAL daripada badan-badan HALAL negara tersebut yang diiktiraf oleh JAKIM.

Penstoran dan penyimpanan (contohnya peti ais) juga perlu dipastikan tidak bercampur dengan benda-benda HARAM yang lain. Pencemaran bersilang dan kekeliruan boleh berlaku jika terdapat percampuran benda-benda yang HALAL dan HARAM dalam tempat penyimpanan yang sama. Perhatian yang sama juga perlu diberikan kepada kotak/beg penghantaran yang digunakan ketika membuat penghantaran kepada pelanggan.

Selain itu, perlu dipastikan tempat membasuh, meja kerja, dapur, segala peralatan dan perkakasan yang digunakan sentiasa dalam keadaan BERSIH dan SUCI daripada NAJIS.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.


5. Saya tahu dan faham hukum berkaitan NAJIS dan CARA MENYUCIKANNYA

Secara hukumnya terdapat 3 jenis NAJIS iaitu NAJIS Berat, NAJIS Pertengahan dan NAJIS Ringan. Setiap jenis NAJIS tersebut mempunyai cara menyucikannya yang tersendiri.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.


6. Saya tahu dan faham hukum berkaitan dengan JENIS-JENIS AIR; bagi TUJUAN PENGGUNAAN dan PENYUCIAN

Terdapat 4 jenis air menurut hukum seperti Air Mutlak, Mustakmal, Musyammas dan Mutanajjis. Secara asasnya, air yang keluar daripada pili syarikat bekalan air ke premis kita adalah dalam kategori Air Mutlak. Air yang digunakan SECARA TERUS (bukan secara menakung) daripada sumber ini bersifat SUCI dan MENYUCIKAN; boleh digunakan bagi menyediakan minuman dan masakan serta membersih-SUCIkan benda-benda daripada NAJIS.

Sebagai PERINGATAN, jika air daripada sumber pili ini diisikan ke dalam suatu besen besar contohnya bagi tujuan membersih-SUCIkan ayam-ayam yang telah disembelih di dalamnya; air di dalam bekas tersebut yang pada mulanya bersifat Mutlak akan bertukar menjadi sifat Mutanajjis disebabkan percampuran air di dalam bekas tersebut dengan NAJIS (tahi dan darah) daripada ayam-ayam tersebut.

JIKA proses akhir bersih-SUCI ayam-ayam tersebut TIDAK DISEMPURNAKAN dengan menggunakan Air Mutlak (dilalukan air pada ayam-ayam tersebut), maka NAJIS yang masih mencemari ayam-ayam ini akan menjadikannya HARAM untuk dimakan.

Sila pelajari dan tekuni perkara ini secara serius bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaannya mengikut kehendak SYARAK.


7. Saya akan sentiasa memastikan DAPUR saya BERSIH dan SUCI

Perlu sentiasa memastikan dapur anda sentiasa bersih daripada kotoran dan mikrob berbahaya serta SUCI daripada NAJIS. Ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bersilang bahan-bahan sediaan dengan kotoran, mikrob berbahaya dan NAJIS.

Ini adalah kerana, kebersihan dan kesucian adalah di antara aspek penting ke arah penawaran produk yang HALALAN TOYYIBAN; ciri utama produk di Makan2U.


8. Saya akan sentiasa memastikan semua PERKAKASAN saya BERSIH dan SUCI

Perlu sentiasa memastikan peralatan dan perkakasan anda seperti pengisar, kuali, periuk, pisau dan apa saja yang berkaitan dengannya sentiasa bersih daripada kotoran dan mikrob berbahaya serta SUCI daripada NAJIS. Ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bersilang bahan-bahan sediaan dengan kotoran, mikrob berbahaya dan NAJIS.

Ini adalah kerana, kebersihan dan kesucian adalah di antara aspek penting ke arah penawaran produk yang HALALAN TOYYIBAN; ciri utama produk di Makan2U.


9. Saya akan sentiasa memastikan PENSTORAN saya BERSIH dan SUCI

Perlu sentiasa memastikan penstoran dan tempat penyimpanan anda seperti peti ais, chiller, stor dan apa saja yang berkaitan dengannya sentiasa bersih daripada kotoran dan mikrob berbahaya serta SUCI daripada NAJIS. Ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bersilang bahan-bahan sediaan dengan kotoran, mikrob berbahaya dan NAJIS.

Ini adalah kerana, kebersihan dan kesucian adalah di antara aspek penting ke arah penawaran produk yang HALALAN TOYYIBAN; ciri utama produk di Makan2U.


10. Saya akan sentiasa memastikan MEJA KERJA saya BERSIH dan SUCI

Perlu sentiasa memastikan meja kerja anda sentiasa bersih daripada kotoran dan mikrob berbahaya serta SUCI daripada NAJIS. Ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bersilang bahan-bahan sediaan dengan kotoran, mikrob berbahaya dan NAJIS.

Ini adalah kerana, kebersihan dan kesucian adalah di antara aspek penting ke arah penawaran produk yang HALALAN TOYYIBAN; ciri utama produk di Makan2U.


11. Saya akan sentiasa memastikan PENGENDALI di bawah tanggungjawab saya BERSIH dan SUCI

Kesedaran dan pengetahuan mengenai konsep HALALAN TOYYIBAN adalah sesuatu keperluan di samping kebersihan diri (personal hygiene) di kalangan semua pengendali makanan & minuman.

Anda perlu memastikan semua pengendali di bawah tanggungjawab anda mengamalkan perkara ini pada setiap masa demi memastikan aspek HALALAN TOYYIBAN, kebersihan dan kesucian produk yang anda tawarkan tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan pelanggan-pelanggan anda.

Tidak seharusnya seorangpun daripada pengendali termasuk anda sendiri, terlibat secara terus dalam pengendalian makanan & minuman tanpa melalui latihan yang berkaitan.

Sila dapatkan latihan berkaitan daripada pihak penyedia latihan yang berkompetensi, berwibawa dan diiktiraf oleh pihak berkuasa yang berkaitan.


12. Semua PENGENDALI makanan / minuman di bawah tanggungjawab saya telah diberikan suntikan TYPHOID

Semua yang terlibat di dalam proses pengendalian makanan dan minuman samada anda sendiri, pekerja atau ahli keluarga anda perlu mendapatkan suntikan imunisasi typhoid daripada pengamal perubatan berdaftar. Suntikan ini bertujuan mengelakkan pengendali makanan daripada dijangkiti penyakit typhoid (demam kepialu) dan mencegah penularan kepada orang awam melalui makanan atau minuman.

Penyakit typhoid disebabkan oleh jangkitan bakteria Salmonella Enterica / Salmonella Typhii yang kebiasannya, cara penyebarannya adalah melalui makanan dan minuman yang telah tercemar oleh NAJIS. Ini berbalik kepada keperluan kebersihan dan kesucian daripada semua aspek pengendalian makanan dan minuman terutama personal hygiene pengendali di samping kewajipan kepada suntikan imunisasi typhoid ini.

Suntikan typhoid boleh diperolehi di klinik-klinik kerajaan ataupun swasta yang menawarkan perkhidmatan ini. Sesetengah PBT turut menyediakan perkhidmatan ini melalui klinik kesihatan mereka seperti yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Sejumlah tertentu bayaran akan dikenakan bagi suntikan ini dan berbeza di antara satu tempat dan tempat yang lain. Oleh itu anda perlulah merujuk terlebih dahulu kepada tempat-tempat berkenaan bagi mendapatkan suntikan dengan bayaran yang lebih kompetitif.

Kad Suntikan Typhoid akan diberikan sebagai mengesahkan suntikan telah dibuat dan ianya SAH untuk tempoh 3 tahun. Maklumat-maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, tarikh suntikan, foto pengendali dan cop doktor akan tertera pada kad suntikan tersebut. Sehubungan dengan itu juga, sila pastikan anda membawa bersama foto anda berukuran passport sewaktu hendak mengambil suntikan typhoid kelak.

Untuk pengetahuan, "Mengikut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah TIDAK menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya MELAINKAN jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar."

Sebagai maklumat tambahan juga, "Mengikut Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tidak, PERLU mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar."

Mana-mana pengendali makanan atau pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan itu, mereka BOLEH DIDENDA TIDAK MELEBIHI RM10,000.00 atau PENJARA SELAMA TEMPOH TIDAK MELEBIHI DUA (2) TAHUN.


13. Tidak akan berlaku sebarang "PENGURANGAN TIMBANGAN" dalam PERKHIDMATAN / PRODUK yang saya TAWARKAN

Secara asasnya, apa sahaja gambaran yang diberikan oleh Seller berkenaan item jualan mereka di Makan2U, samada dalam bentuk ayat atau gambar, maka seperti itu jugalah yang seharusnya diterima oleh Buyer Makan2U.

Pelanggan membuat pilihan pembelian berdasarkan kepada maklumat-maklumat item jualan yang anda berikan seperti harga, kuantiti, deskripsi item, kepantasan penghantaran termasuklah gambar yang dipaparkan.

Oleh itu, sebagai Seller, anda mempunyai obligasi untuk menunaikan segala janji-janji yang telah anda berikan melalui maklumat-maklumat di atas kepada setiap pelanggan anda. Barulah urusniaga jual-beli sempurna berlaku di antara anda (Seller) dengan pelanggan anda (Buyer) dan soal KEPUASAN PELANGGAN akan dipenuhi.

Jika obligasi tersebut tidak dipenuhi, sebagai Seller, anda boleh dianggap sebagai mengurangi timbangan dalam urusniaga; dan perkara ini adalah sesuatu yang diHARAMkan dalam Islam.
Ingatan mesra daripada pihak Makan2U, sebaiknya biarlah pelanggan memperolehi item setara dengan gambar item jualan yang dipaparkan oleh Seller. Jika tidak, lebih baik Seller memaparkan gambar item yang seadanya sahaja agar Buyer tidak tertipu dengan gambaran palsu item. Bak kata pepatah, jangan jadi seperti "Indah Khabar Daripada Rupa".

Setiap urusniaga yang berlaku di dalam Makan2U adalah direkodkan menerusi hantaran email-email daripada sistem samada tempahan pesanan, resit belian, pengesahan penerimaan dan sebagainya.

Ingin diingatkan di sini, pihak Buyer boleh mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna jika Buyer mendapati apa-apa aspek yang tidak dipenuhi oleh Seller seperti yang dijanjikan.


Rujukan tambahan berguna:

  • Dato' Dr. Haron Din Menjawab Persoalan Fikah Harian, Dato' Haron Din, Dato' Abu Hassan Din & Ishak Din, PTS Millennia Sdn. Bhd, Batu Caves Selangor, 2011
  • The Lawful and the Prohibited in Islam by Yusuf al-Qaradawi, Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1994
  • Halal Haram - A Guide by Consumers Association of Penang, CAP, Pulau Pinang, 2006
  • Najis dan Cara Menyucikannya
    (http://www.muftimelaka.gov.my/masjid/infoislam/ibadat/najis.htm)
  • Haiwan-Haiwan Yang Haram Dimakan Dalam Islam
    (https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2210-al-kafi-687-haiwan-haiwan-yang-haram-untuk-dimakan-di-dalam-islam)

Bertarikh: 1 November, 2019 (MAKAN2U/DEKHT/1911/00/00)

PENGUMUMAN PENTING!

Makan2U KINI Telah Mula BEROPERASI!

PENDAFTARAN Sebagai Seller & Oncall Runner di Makan2U SEDANG DIBUKA!!

PERCUMA Yuran Pemprosesan dan 1,000 unit PPC kepada 1,000 Seller Makan2U TERAWAL!!!

Pemandangan